BUAT pertama kalinya pada 2005, syarikat peneraju produk telekomunikasi mobiliti, Nokia telah memperkenalkan model telefon bimbit N95 dengan fungsi pengimejan beresolusi lima megapiksel.
Menyemarakkan lagi fungsi tersebut, tahun lalu pula menyaksikan kehadiran model N82 yang dilengkapi dengan lensa Carl Zeiss dan juga flash Xenon.
Dalam usaha memahami kehendak penggunanya yang obses dengan aktiviti fotografi, Nokia baru-baru ini tampil dengan model N86 lapan megapiksel (N86 8MP).
Model tersebut mempunyai kelebihan didatangkan bersama kamera berlensa Carl Zeiss Tessar dengan sudut luas 28 milimeter (mm).
Fungsi pengimejannya dilengkapkan lagi dengan teknologi seperti kepantasan shutter mekanikal, pengurangan gegaran pergerakan automatik serta masa pemprosesan foto yang lebih pantas.
Menurut Pengurus Pemasaran Produk Nokia Singapura, Malaysia dan Brunei, Glen Cha, pengguna juga bakal menikmati pengalaman merakam gambar yang lebih menarik melalui lampu flash diod pemancar cahaya (LED) berkembar generasi ketiga.
''Kelebihan ini akan memberi kemudahan rakaman foto dalam keadaan sama ada cahaya terlalu terang atau cahaya kurang,'' katanya pada pelancaran telefon bimbit itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dari segi binaan luarnya, model berkenaan disempurnakan dengan rekaan premium menggunakan material tulen dan berprestij.
Menerusi skrin kaca AM OLED 2.6 inci tahan calar pula, ia menawarkan dimensi baru kepada paparan foto dan juga video.
Di samping itu, pengguna juga akan ditawarkan dengan fungsi sambungan Internet berkelajuan tinggi untuk memudahkan akses kepada laman web rangkaian sosial seperti Ovi Share atau Flickr.
Untuk aplikasi multimedia, telefon bimbit tersebut dilengkapi dengan pembesar suara tiga dimensi binaan dalam, penalaan radio FM, permainan video N-gage, sokongan 25 jam permainan muzik dan tujuh jam untuk video.
Ia turut menyokong kapasiti storan binaan dalam sehingga lapan gigabait (GB) selain kad memori microSD 16GB.
Apa yang lebih menarik, pengguna akan dapat menikmati fungsi Sistem Penentu Kedudukan Global Terbantu (A-GPS) dengan tanda tempat berbentuk tiga dimensi yang bertindak sebagai kompas digital dalam menentukan maklumat sesuatu lokasi dengan lebih cepat dan tepat.
Dengan segala kelebihan itu, Nokia N86 8MP kini boleh didapati dengan harga pasaran RM1,880.